Hadis Ibnu Abbas r.a: Rasulullah s.a.w telah keluar pada tahun pembukaan Kota Mekah di bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehinggalah tiba di Daerah Al-Kadid, baginda pun berbuka. Para sahabat Rasulullah s.a.w mengambil hukum dengan mengikuti kejadian demi kejadian berdasarkan perintah baginda.
Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w musafir, baginda melihat seorang lelaki sedang dikerumuni oleh orang ramai sehingga dia hampir-hampir tidak dikenali. Rasulullah s.a.w kemudian bertanya: Mengapa dengannya? Para sahabat menjawab: Dia adalah seorang yang berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah termasuk dari suatu kebaikan berpuasa di dalam perjalanan iaitu musafir.
Hadis Anas r.a: Diriwayatkan daripada Humaid r.a katanya: Anas r.a pernah ditanya tentang berpuasa sewaktu musafir di bulan Ramadan. Katanya: Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka dan sebaliknya orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa.
