Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan.
Hadis Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya seseorang telah mengintai pada salah satu bilik Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w menghampirinya dengan membawa anak panah bermata lebar dan aku melihat seolah-olah Rasulullah s.a.w mengugut untuk menikamnya.
Hadis Abu Hurairah r.a: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesiapa yang menjenguk-jenguk ke dalam rumah sesuatu kaum tanpa mendapat izin mereka, maka dihalalkan bagi mereka untuk mencungkil matanya.
