Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman katanya: Aku menemui Saidatina Aisyah r.a bersama saudara sesusu beliau. Saudara sesusu beliau telah bertanya tentang mandi hadas yang dilakukan oleh Nabi s.a.w, lantas Saidatina Aisyah meminta bekas yang boleh memuatkan satu gantang air, lalu dia mandi dengan meletakkan tabir di antara kami dan dia. Saidatina Aisyah menuangkan air ke atas kepalanya sebanyak tiga kali sambil berkata: Isteri-isteri Nabi s.a.w biasanya menuang air ke kepala mereka sehingga betul-betul basah.
Hadis Maimunah r.a isteri Nabi s.a.w: Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Maimunah pernah menceritakan kepadaku bahawa beliau pernah mandi bersama-sama Nabi s.a.w menggunakan air dari satu bekas air.
Hadis Ummu Salamah r.a Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w mandi dengan menggunakan air lebihan dari bekas yang digunakan oleh Maimunah.
Hadis Ummu Salamah r.a: Diriwayatkan daripada Zainab binti Ummu Salamah katanya: Bahawa Ummu Salamah pernah mandi hadas bersama-sama Rasulullah s.a.w menggunakan air dari satu bekas.
Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mandi dengan lima cupak air dan berwuduk dengan satu cupak air.
