Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Diceritakan kepada Rasulullah s.a.w mengenai seorang yang tidur pada waktu malam hingga pagi. Baginda bersabda: Itulah orang yang kedua belah telinganya telah dikencing oleh syaitan atau sabda baginda: Sebelah telinganya sahaja.
Hadis Ali bin Abu Talib r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w telah datang berjumpa Ali dan Fatimah pada suatu malam. Baginda bertanya: Adakah kamu tidak sembahyang? Ali segera menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berada di bawah kuasa Allah. Jika Allah berkehendak supaya kami bangun, tentu Dia akan membangunkan kami. Mendengar jawapan Ali itu, Rasulullah s.a.w terus beredar. Kemudian Ali mendengar baginda menepuk pahanya seraya bersabda dengan firman Allah:وَكَانَ الْإِنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا Yang bermaksud: Dan sememangnya manusia itu adalah makhluk yang banyak membantah.
Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu itu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila dia berwuduk maka akan terbukalah ikatan yang kedua. Apabila dia sembahyang maka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas dan kekusutan hati.
